Menyelam Untuk Menjadi Lebih Baik?

SALAM sejahtera. Tadi pagi aku pergi ke Bukit Antarabangsa untuk menemu bual Presiden Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia), Jamhariah Jaafar. Temu janji jam 11 pagi tetapi jam 9.30 aku sudah bergerak dari pejabat untuk ke sana. Aku pergi awal kerana bimbang 'sangkut' dalam kesesakan jalan raya. Lagipun aku tak berapa pasti lokasi pejabat Coral Malaysia. Biasanya aku akan recce dulu lokasi yang aku tak pasti tetapi untuk assigment yang ini aku tak sempat recce dulu. Jadi, haruslah aku bertolak awal supaya sampai sebelum waktu dijanjikan.
Memang aku agak tersasar kerana terlepas satu lorong. Namun semuanya masih dalam kawalan dan aku sampai sebelum jam 11 pagi di pejabat Coral Malaysia. Sampai sahaja aku dijemput dengan senyum manis wanita ini. Orangnya biasa sahaja tanpa solekan namun terserlah jati dirinya sebagai seorang berani dan tegas.
Menurut Jamhariah, aktiviti menyelam ke dasar laut menjadikan dia seorang yang berani dan tegas. Katanya, kalau aku turut sama menyertai aktiviti ini, aku boleh jadi seorang yang lebih berkeyakinan dan much much better than who I am now. Itu kata Jamhariah.
Apabila Jamhariah kata macam tu aku terus terkenang saat aku pergi ke Pulau Redang dua tahun lalu. Masa itu aku dibawa oleh Berjaya Group ke Berjaya Redang Beach Resort. Di sana aku berpeluang untuk selam snorkle. Ketika selam snorkle itu aku terserempak dengan ikan pari. Akibat terkejut, aku kelam-kabut berenang ke bot. Memang menakutkan. Apabila aku menceritakan pengalaman ini kepada Jamhariah, dia ketawa lalu berkata. "Sepatutnya awak tak perlu takut. Itu pengalaman yang hebat. Bukan semua orang dapat pengalaman berhadapan dengan ikan pari."
Aku terdiam sebentar dan berkata dalam hati. "Betullah kata Jamhariah. Memang menyelam boleh menjadikan kita seorang yang berani dan berkeyakinan. Kalau tidak, takkan aku lintang-pukang berenang naik ke bot sebab ketakutan terserempak dengan ikan pari. Padahal ikan itu tak mengganggu kita pun kalau kita tak usik-usik dia."
Sebelum balik, sempat Jamhariah memberitahu aku bahawa laut di Malaysia adalah laut tercantik di dunia. Terumbu karangnya sangat cantik. Kalau kita tak menyelam sekarang, kita rugi. Sebabnya ialah kini terumbu karang kita semakin pupus disebabkan pencemaran.
"Saya bersyukur kerana sudah menyelam lebih sepuluh tahun lalu. Ketika itu terumbu karang sangat cantik terutama di Pulau Sipadan. Kini semuanya membuatkan saya sedih." kata Jamhariah penuh makna.

Catat Ulasan

0 Ulasan