Bosan Dengan Maxis

AKU menggunakan khidmat telekomunikasi Maxis hampir 10 tahun lalu. Tiba-tiba mendapat panggilan daripada Maxis yang meminta nombor kad pengenalan aku kerana katanya pendaftaran tidak lengkap. Aku bukan bodoh yang sewenang-wenangnya memberi nombor kad pengenalan aku kepada orang yang menelefon. Erm... faham-faham sahajalah banyak sangat penipuan berlaku di serata dunia. Nombor kad pengenalan adalah rahsia peribadi kerana banyak yang boleh dilakukan oleh penjenayah jika kita mendedahkan nombor kad pengenalan, kad kredit dan sebagainya.
Pemanggil yang percakapannya seperti warga asing itu sememangnya agak mengelirukan aku. Betulkah daripada Maxis atau saja main-main untuk memerangkap aku? Jadi aku mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke Maxis Centre di Pavilion untuk menyemak akaun nombor telefon bimbit. Itupun selepas talian telefon bimbit aku disekat. Ternyata panggilan itu ada kebenarannya kerana memang nombor kad pengenalan aku salah. Tak apalah, sekurang-kurangnya aku berhati-hati menerima panggilan telefon yang sebegini.
Persoalan yang timbul ialah kenapa baru sekarang Maxis menyemak nombor kad pengenalan aku ya? Dan satu lagi persoalannya ialah, dahulu aku mendaftar di Maxis siap bagi salinan kad pengenalan lagi. Boleh salah jugakah?
Selepas berurusan dengan salah seorang kakitangan di Maxis Centre di Pavilion, aku pun pulang setelah sekatan dibuka semula. Aku memang suka berurusan di Maxis Centre Pavilion kerana kakitangannya ramah pelanggan. Kalau di MidValley atau The Garden, sakit hati sangat. Sudahlah tidak peramah, lembap pula tu. Walaupun rumah aku dekat dengan MidValley dan The Garden, aku sanggup pergi jauh ke Pavilion.
OK. Habis cerita itu. Ada satu lagi sambungan. Yang menjadi kemarahan aku ialah sejak dua hari lepas orang Maxis asyik menelefon aku kerana masalah yang sama. Pendaftaran tidak lengkap. Apa lagi agaknya ya? Susah sangat agaknya nak melengkap pendaftaran aku tu. Susah sangat agaknya nak masukkan nombor kad pengenalan aku. Adakah aku perlu pergi ke Maxis Centre untuk betulkan nombor kad pengenalan aku setiap hari? Aku bosan dengan Maxis. Menyusahkan aku. Takkanlah aku nak kena pergi ke Menara Maxis atau pergi ke setiap Maxis Centre untuk membetulkan nombor kad pengenalan aku? Padahal diorang yang salah 'key in' nombor kad pengenalan aku.
Tolonglah buat kerja dengan cekap. Jangan kerana kesilapan kakitangan sendiri tetapi pelanggan yang bersusah payah ke hulu ke hilir. Paling sengal apabila nombor aku disekat lagi!

Catat Ulasan

0 Ulasan