Tersiratnya Erti Sebuah Persahabatan

SALAM untuk semua pengunjung blog kesayangan aku ini. Pabila berbicara mengenai persahabatan, aku sesungguhnya bersyukur kepada Tuhan kerana dianugerahi seorang sahabat sebaik Suzi. Persahabatan yang sudah mencapai sepuluh tahun; mulai tahun 1999 adalah sebuah hubungan sungguh bererti kepadaku. Susah senang dikongsi bersama. Sangat berbeza pada awal kami berkawan di UiTM dahulu. Dulu kawan masa budak-budak, namun kini kami sudah dewasa. Fikiran semakin matang.
Hubungan seorang sahabat sangat sukar untuk diungkapkan. Hubungan ini tidak sama dengan hubungan bersama keluarga (ibu, ayah dan adik-beradik), juga tidak sama hubungan dengan kekasih. Hanya mereka yang ada sahabat baik sahaja tahu mengungkapkan hubungan ini. Sahabatlah tempat mencurahkan perasaaan, sahabatlah tempat mengadu masalah, sahabatlah tempat minta tolong dan sahabat jugalah tempat melepaskan geram serta kemarahan. Kadang-kadang marah yang tak terluah kepada orang lain, sahabatlah tempat menghamburkan kemarahan itu. Sebagai sahabat, terimalah segalanya.
Sahabat bukan untuk mengisi masa lapang tetapi sahabat adalah untuk mengisi kekurangan. Sahabat tahu sikap sebenar sahabatnya. Dan sahabat adalah manusia yang berada di sisi saat suka dan duka. Sukar untuk aku gambarkan hubungan persahabatan. Tiada rahsia yang disembunyikan, ikhlas dan terbuka.
Puisi Khalil Gibran yang bertajuk Persahabatan di bawah dapat menggambarkan sejelasnya betapa indah hubungan persahabatan.

PERSAHABATAN oleh KHALIL GIBRAN

Dan seorang remaja berkata, bicaralah pada kami tentang persahabatan.
Dan dia menjawab: Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.

Dialah ladang hati yang kau taburi dengan kasih
Dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.

Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa
Dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.

Bila dia berbicara mengungkapkan fikirannya,
kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri,
pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.

Dan bila mana dia diam,
hatimu berhenti dari mendengar hatinya;
kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat
dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi,
dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat,
tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya,
mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya,
bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki,
nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya,
bukanlah cinta,
tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu,
biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.

Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya,
untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu,
bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan,
biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan.

Kerana dalam titisan kecil embun pagi,
hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

~ Khalil Gibran

Catat Ulasan

0 Ulasan