Haruman Mengusik Kenangan

MINGGU lepas aku membelek-belek katalog Avon. Tiba-tiba mataku menatap satu haruman yang pernah kugunakan hampir sepuluh tahun lalu. Haruman bernama Rare Gold itu memang aku nanti-nantikan kemunculannya. Dulu aku beli daripada seorang ejen Avon di UiTM iaitu rakan sekelas yang kupanggil Donat. Selepas itu aku lihat haruman ini tidak dijual lagi. Entah kenapa Avon tak buat lagi haruman itu. Jadi apabila aku nampak di dalam katalog itu haruman ini kembali di pasaran aku pun tak sabar menanti 1 November sebab mula dijual pada tarikh ini. Jam 10 bangun tidur terus bersiap pergi ke Amcorp Mall untuk membeli haruman ini. Walaupun jurujual di butik ini agak kurang mesra, aku gagahkan jua hati kerana inilah butik Avon paling dekat dengan rumah. Haruman ini tidaklah mahal mana namun baunya cukup aku senangi....
"Rare Gold satu," kataku kepada salah seorang jurujual yang duduk di hadapan skrin komputer.
Tanpa senyuman dia pun mengambil sekotak haruman itu lalu dimasukkan ke dalam plastik. Selepas menyerahkan kad Avon dia pun menaip sesuatu di komputer dan mencetak resit. Haruman bertukar tangan dengan beberapa helai wang kertas. Melangkah sahaja keluar dari butik itu aku pun menyembur haruman itu ke tangan kerana tidak sabar hendak mencium baunya. Ya Allah memang haruman itu menjadi bagaikan satu "rasa" atau "suasana" yang mengembalikan seribu satu kenangan dalam hidupku. Semua kenangan kira-kira 10 tahun lalu bermain-main di fikiran dan bercampur-campur antara kenangan manis dan kenangan pahit dalam hidup. Terasa tidak mahu aku gunakan haruman itu lagi tetapi aku rindukan baunya. Kesimpulannya, aku berpendapat haruman adalah salah satu elemen yang mampu mengembalikan kenangan dalam hidup seseorang. Sebab itulah aku tidak mahu setia dengan satu haruman sahaja akerana tidak mahu jadi seperti ini. Rare Gold... kau banyak menyimpan kenangan dalam hidupku. Aku benci kau tetapi dalam masa yang sama aku rindu akan baumu...

Catat Ulasan

3 Ulasan

lili norlaili berkata…
hish...hish...betul yam...haruman spt dimatikan dlm diam...
Rashidah Ibrahim berkata…
Macam-macamlah Mariam ni, banyak kenangan rahsia rupanya ye.